Amber Eksklusif Casual Wear Lancar Koleksi Premium "Somewhere Somehow Someone" dengan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah sebagai Duta

August 12th, 2025 / Artikel

KUALA LUMPUR 12 OGOS 2025 - Dunia fesyen tempatan menerima sentuhan kemewahan baharu apabila Amber Eksklusif Casual Wear, jenama di bawah Usanita Sdn Bhd, memperkenalkan koleksi premium terbaharu mereka bertajuk "Somewhere Somehow Someone". Pelancaran yang dinanti-nantikan ini turut menandakan kerjasama strategik dengan dua ikon tersohor tanah air, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, yang dilantik sebagai duta rasmi jenama tersebut. Koleksi eksklusif ini dicipta khusus untuk memenuhi citarasa golongan T20 yang mendambakan fesyen kasual berprestij dengan gabungan rekaan moden kontemporari, fabrik premium serta kemasan eksklusif yang memancarkan aura elegan dan keyakinan diri.

Menurut Datuk Adzliana Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, pemilihan kedua-dua selebriti ini bukan secara kebetulan, sebaliknya kerana mereka melambangkan keperibadian serta imej yang seiring dengan DNA Amber. "Hael dan Dayang adalah cerminan sempurna kepada DNA Amber iaitu penuh gaya, berkarisma, dan memiliki pengaruh besar dalam membentuk aspirasi fesyen. Mereka bukan sekadar ikon hiburan, malah lambang kejayaan dan personaliti unggul yang seiring dengan visi kami untuk menjadikan Amber sinonim dengan fesyen kasual premium di Malaysia," jelasnya. Pelantikan ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila Dayang Nurfaizah buat julung kalinya bersetuju menjadi wajah rasmi bagi sebuah produk tempatan.

Koleksi "Somewhere Somehow Someone" tampil dengan rangkaian rekaan eksklusif yang dipilih rapi bagi memenuhi gaya hidup sofistikated, merangkumi pelbagai item antaranya Zip Up Scuba Collar Sweater, A-Line Scuba Skirt, Short Sleeve Polo Shirt, Cascade Short Jacket, Knit Cardigan, Side Pleated Skirt dan Easy Trench Coat. Setiap potong pakaian dalam koleksi ini adalah manifestasi seni berpakaian yang melambangkan status, cita rasa, dan pencapaian, direka khusus untuk mereka yang menghargai kualiti dan eksklusiviti dalam pemilihan fesyen harian mereka.

Koleksi terbaharu ini akan mula dipasarkan secara terhad di butik Amber di Wangsa Walk Mall serta butik flagship yang terletak di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur. Bagi kemudahan pelanggan yang lebih luas, koleksi Amber turut boleh didapati secara online melalui laman web rasmi di www.amberofficials.com.my atau melalui media sosial Amber Officials. Langkah strategik ini menunjukkan komitmen jenama dalam menyediakan akses yang mudah kepada koleksi premium mereka sambil mengekalkan eksklusiviti dan kualiti yang menjadi teras jenama Amber.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur