AMBER MULA KEMBANGKAN KUASA BUNGA MELALUI ATMA SARI

March 5th, 2024 / Artikel Amber

BIARPUN masih bertatih dalam industri fesyen negara, jenama AMBER mula mencuri perhatian para pemerhati fesyen sejak pengenalan rekaan pertama yang menampilkan tema Flower Power. Koleksi Flower Power banyak diperagakan oleh selebriti dan orang-orang kenamaan, sesuai dengan rekaan eksklusifnya. 

Tahun ini, khususnya sempena sambutan Aidilfitri 2024, AMBER tidak mahu ketinggalan untuk turut ‘beraya’ dengan koleksi lebih menawan yang menampilkan sentuhan moden dan klasik menerusi kempen Atma Sari. 

Koleksi indah eksklusif dengan menggunakan material premium itu diperagakan di depan khalayak di dalam sebuah majlis pertunjukan fesyen pada 5 Mac lalu yang turut memperkenalkan duta Amber, pelakon cantik Anna Jobling. 

“Atma Sari masih mengekal motif floral atau bunga-bungaan yang menjadi identiti AMBER tetapi ia ditampilkan secara klasik melalui sulaman (bunga sulam) dan moden pada potongan bajunya,” kata pemilik AMBER, Dato Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan. 

Selain Anna Jobling yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu, pertunjukan fesyen AMBER juga diserikan dengan kehadiran Tan Sri Shahrizat Jalil serta beberapa artis seperti Sophia Albarakbah dan Aina Abdul.

Pada majlis itu juga para tetamu turut menyaksikan drama pendek Anna Cari Jodoh, sebagai kempen pemasaran AMBER menerusi media sosial. Drama berdurasi 10 minit itu menampilkan Anna Jobling dan Iedil Putra sebagai pelakon utama. 

Selain dijual secara dalam talian, koleksi-koleksi AMBER boleh didapati di butik yang terletak di Wangsa Walk, Kuala Lumpur. Malah sempena kempen Aidilfitri lalu, AMBER membuka pop up booth di beberapa lokasi termasuk Lot 10, Sogo KL dan The Garden Kuala Lumpur.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country