Amber perkenal Amber Oasis Abaya: Perpaduan gaya, seni dan warisan Islamik dalam fesyen muslimah mewah
May 29th, 2025 / Article

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen kontemporari tempatan yang sinonim dengan kemewahan dan keanggunan moden, Amber, sekali lagi mencuri tumpuan dunia fesyen tanah air dengan pelancaran koleksi eksklusif terbaharunya iaitu Amber Oasis Abaya.
Koleksi ini menampilkan rekaan avant-garde yang sarat dengan elemen seni halus dan ilham warisan Islamik, khusus buat wanita Muslimah moden yang menghargai estetika tinggi dalam berfesyen tanpa mengabaikan nilai dan keselesaan.
Koleksi edisi terhad ini adalah manifestasi komitmen Amber dalam menerajui segmen fesyen Muslimah premium di Malaysia.
Lebih istimewa, pelancaran kali ini turut diserikan dengan pelantikan tiga figura wanita popular tanah air iaitu Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli sebagai duta rasmi koleksi ini.
Pemilihan mereka bukan sahaja atas dasar pengaruh dan populariti, tetapi kerana keperibadian mereka yang mencerminkan nilai-nilai yang diangkat oleh Amber iaitu elegan, berkeyakinan dan menjunjung gaya hidup Muslimah moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, koleksi Amber Oasis Abaya membawa maksud yang lebih mendalam tidak hanya sekadar sebuah pakaian.
“Amber bukan sekadar jenama semata ia adalah simbol kepada keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah masa kini.
“Kami percaya setiap wanita berhak tampil bergaya tanpa perlu berkompromi terhadap prinsip, nilai dan keselesaan mereka.
“Melalui koleksi ini, kami ingin menzahirkan sebuah fesyen yang bukan sahaja indah dari segi rekaan, tetapi juga menyentuh aspek spiritual dan ekspresi peribadi,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi bersama ketiga-tiga selebriti itu juga adalah strategi untuk membawa jenama Amber lebih dekat dengan golongan pengguna yang menjadikan mereka sebagai inspirasi dalam kehidupan seharian.
“Ini bukan sekadar kempen promosi biasa, tetapi usaha untuk mengangkat sosok wanita yang kekal anggun, menjaga penampilan dan prinsip dalam dunia moden yang mencabar,” katanya.
Amber Oasis Abaya menampilkan empat rekaan utama iaitu Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara di mana masing-masing direka secara teliti untuk memenuhi cita rasa pelbagai segmen wanita moden.
Rekaan Madeena, yang dijual pada harga RM329, mengetengahkan warna-warna lembut seperti baby blue, maroon dan purplish gold, dalam potongan free size yang klasik dan anggun.
Sementara itu, Arora tampil dengan dua variasi rona iaitu copper brown dengan fabrik pleated dan midnight blue dalam potongan polos dijual pada harga RM289, sesuai buat wanita yang menggemari tekstur unik dan potongan berstruktur.
Untuk mereka yang mencari pilihan lebih kasual tetapi tetap eksklusif, Jumaira hadir dengan warna-warna seperti putih, mint green dan coklat muda, ditawarkan pada harga RM259.
Tidak ketinggalan Sahara, yang menjadi pilihan paling versatil dan mesra bajet dalam koleksi ini, dijual pada harga RM199 dan hadir dalam rona asas seperti hitam, coklat dan hijau.
Walaupun ringkas dari segi potongan, ia tetap mengekalkan aura eksklusif Amber.
Kesemua rekaan ini ditawarkan dalam jumlah terhad, dengan hanya 500 unit setiap rekaan dihasilkan bagi mengekalkan keunikan dan eksklusiviti koleksi.
Menambahkan lagi nilai koleksi edisi khas ini, setiap pembelian turut disertakan dengan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, serta e-pass jemputan khas ke majlis pra-tonton eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week yang dijadualkan berlangsung pada September 2025.
Keanggunan koleksi ini turut diserlahkan menerusi gaya dan personaliti dutanya.
Nora Danish, yang sering tampil dengan gaya sofistikated, tampil sebagai wajah kepada Madeena.
Amira Othman pula, dengan persona lembut dan santunnya, disandingkan dengan abaya Jumaira yang feminin. Sementara itu, Amyra Rosli ikon wanita muda berkeluarga yang moden dan berani tampil serasi bersama Arora, lambang wanita kontemporari yang berdaya saing.
Dengan pelancaran Amber Oasis Abaya, Amber sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama tempatan yang bukan sahaja mementingkan nilai estetika dalam rekaan, tetapi turut menekankan nilai warisan, identiti Muslimah dan keanggunan yang sejati.