‘Dink! I Love You’ Tampilkan Gabungan Unik Romantik dan Pickleball dalam Pertaruhan Baharu UTV
June 24th, 2026 /
BUKIT KIARA – Platform penstriman tempatan, UTV, terus memperkukuh portfolio kandungan originalnya menerusi telefilem terbaharu, Dink! I Love You, sebuah naskhah komedi romantik yang mengangkat sukan pickleball sebagai elemen utama penceritaan.
Terbitan Motio Studio dan dibintangi Anna Jobling, Arfie Shah serta Aedy Ashraf, telefilem berkenaan mula ditayangkan secara eksklusif menerusi aplikasi UTV sejak 18 Jun lalu.
Pengerusi UTV yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan, berkata pemilihan pickleball sebagai latar utama cerita dibuat bagi mengetengahkan kandungan yang selari dengan trend semasa serta gaya hidup masyarakat hari ini.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja memberi kelainan kepada jalan cerita, malah menawarkan pengalaman tontonan yang lebih segar kepada penonton yang sentiasa mencari kandungan original dan relevan.
Bagi memastikan setiap babak di gelanggang kelihatan meyakinkan, pengarah Boy Koci mendedahkan barisan pelakon menjalani latihan intensif selama dua hari bersama jurulatih daripada Tomaz Pickleball Club sebelum penggambaran bermula.
Menurutnya, antara cabaran utama ialah terdapat pelakon yang sebenarnya sudah mahir bermain pickleball, namun perlu melakonkan watak yang tidak mempunyai kemahiran tersebut di hadapan kamera.
Penggambaran yang berlangsung selama kira-kira tujuh hari itu turut menyaksikan babak perlawanan menjadi antara adegan paling mencabar. Pelakon utama, Arfie Shah, berkata terdapat sesi penggambaran yang berlarutan sehingga 20 jam sehari bagi memastikan setiap babak penting dapat disiapkan mengikut jadual.
Dari sudut penceritaan, Dink! I Love You mengisahkan Diba (Anna Jobling), seorang pemain pickleball berbakat yang memilih untuk meninggalkan pasangannya, Arman (Aedy Ashraf), sebelum bergandingan dengan Ghazali (Arfie Shah) sebagai rakan sepasukan baharu.
Walaupun Ghazali merupakan seorang pelajar pintar yang langsung tidak mempunyai asas dalam sukan itu, hubungan mereka mula berkembang menerusi latihan, kepercayaan dan semangat kerjasama yang dibina bersama. Jalan cerita tersebut turut menyampaikan mesej bahawa kejayaan dan cinta mampu terhasil daripada perjuangan, kesungguhan serta pengorbanan.
Bersempena pelancaran telefilem itu, UTV turut menganjurkan Allstars Pickleball 2.0 yang menghimpunkan barisan selebriti dan pengamal media dalam perlawanan persahabatan. Acara itu bukan sahaja memeriahkan pelancaran Dink! I Love You, malah turut mencerminkan populariti pickleball yang semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.