50 USAHAWAN TERPILIH KE PROGRAM PERINTIS USANITA: PENJENAMAAN & PENDIGITALAN
June 27th, 2022 / Perintis Usanita
TARIKH 27 Jun 2022 menjadi sejarah manis buat 50 usahawan kecil dan sederhana selepas Usanita Sdn Bhd mengumumkan mereka telah terpilih ke program Perintis Usanita: Penjenamaan & Pendigitalan.
Pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Datuk Rosyam Nor dan Usanita bermula jam 2 petang itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan dan Hero Malaya itu sendiri selaku wajah Perintis Usanita.
“Hampir tiga bulan kami buat pencarian ini, tempoh itu agak lama tetapi kami mencari yang benar-benar layak dan menepati kriteria program ini.
“Alhamdulillah lebih 1,000 peserta yang mendaftar sepanjang kempen ini berlangsung dengan hampir 10 industri berbeza untuk bersaing mendapatkan 50 tempat sahaja.
“Memang saingan sengit tetapi saya dan Datuk Rosyam harus memilih yang terbaik bagi menjayakan program yang julung-julungnya Usanita Sdn Bhd lakukan ini. Lagipun 50 yang terpilih ini akan menggunakan jenama Datuk Rosyam dan membawa jenama Usanita serentak, jadi kami lebih berhati-hati dalam pemilihan ini.
“Ramai juga antara mereka yang menangis apabila kami buat panggilan mengucapkan tahniah. Secara peribadi juga, saya terharu kesungguhan mereka yang nampak apa yang Usanita cuba bantu mereka di dalam keusahawanan terutama penjenamaan dan pemasaran,” kata Datin Adzliana.
Dengan pengumuman ini, mereka secara tidak langsung akan menyertai bootcamp selama tiga hari di Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 Julai 2022. Sepanjang tempoh bootcamp, peserta akan didedahkan tentang penjenamaan dan penggunaan teknologi hari ini untuk pemasaran.
Beberapa speaker termasuk Datuk Rosyam Nor, Datin Adzliana dan Azzam Sabtu bakal berkongsi kepakaran bidang masing-masing.