Eksklusif: Media Screening Telefilem “Saling Tak Terlihat” berlangsung di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur

November 4th, 2025 / Artikel

SALING TAK TERLIHAT

Usanita Entertainment Sdn. Bhd. dengan bangganya mempersembahkan telefilem terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat, arahan pengarah Izuan Mokhtar, yang bakal disiarkan pada 6 November 2025, jam 9.00 malam.

TERBITAN DI BAWAH UTV – USAHA USAHAWANITA

Telefilem ini diterbitkan di bawah jenama UTV, milik Usanita Group yang diterajui oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan. Ia menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Nora Danish, Fattah Amin, Alicia Amin, Ummie Aida, Aleza Shadan dan Raja Azmi.

Mengangkat tema cinta, kehilangan dan perjalanan untuk bangkit semula, Saling Tak Terlihat menawarkan penceritaan emosional dengan visual sinematik berlatarkan keindahan Auckland, New Zealand.

CABARAN PENGGAMBARAN

Menurut Izuan Mokhtar, penggambaran dijalankan selama sembilan hari — dua hari di Malaysia dan tujuh hari di Auckland. Perubahan lokasi asal dari Maghribi ke New Zealand dibuat atas faktor logistik dan kesesuaian visual.

Namun, cuaca tidak menentu memberikan cabaran besar apabila hujan lebat menyebabkan penggambaran tertangguh selama empat hari.

“Kami terpaksa ubah jadual dan lokasi mengikut keadaan cuaca. Setiap kali hujan berhenti, kami sambung semula penggambaran,” jelas Izuan.

CINTA, MAKANAN & DERIA

Idea telefilem ini diinspirasikan daripada gabungan cinta dan dunia kulinari.

“Saling Tak Terlihat ialah kisah cinta yang lahir melalui ‘rasa’, bukan sekadar pandangan mata. Saya mahu penonton merasai keindahan emosi yang hadir melalui makanan dan hubungan insan,” – Izuan Mokhtar.

Lebih menarik, watak utama wanita ialah seorang gadis buta, memperkukuh tema ‘deria dan rasa’ dalam penceritaan.

“Dalam kisah ini, watak OKU bukan sekadar simbolik, tetapi memiliki kelebihan — deria rasa yang sangat kuat. Dari situ lahir hubungan emosi yang unik,” tambah Izuan.

GANDINGAN REMY ISHAK & NORA DANISH

Telefilem ini turut menyaksikan penyatuan semula dua nama besar, Remy Ishak dan Nora Danish.

“Saya tahu kemampuan mereka, dan untuk naskhah ini saya beri ruang untuk kedua-duanya tampil lebih matang dan mendalam,” kata Izuan.
“Telefilem ini lebih berat dari segi emosi berbanding Poskad Cinta Dari Auckland.”

USAHA MEMPERKASA KARYA TEMPATAN

Menurut Datuk Adzliana Hasan, Saling Tak Terlihat merupakan sebahagian daripada usaha UTV dalam memperkenalkan karya berkualiti dengan kepelbagaian bakat tempatan.

“Kami mahu memartabatkan naskhah tempatan agar setaraf dengan produksi antarabangsa, dan tidak terhad kepada wajah-wajah duta Usanita semata-mata,” jelas beliau.

SINOPSIS

Ghaz (Remy Ishak), seorang cef, hilang semangat selepas pemergian ibunya yang terkenal dalam dunia kulinari. Mencari ketenangan dan ilham baharu, Ghaz membawa diri ke Auckland bersama adik dan rakan sekerjanya (lakonan Fattah Amin dan Alicia Amin).

Di sana, dia bertemu Safera (Nora Danish), seorang gadis buta yang mengubah hidupnya. Safera menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuk Ghaz kembali bangkit. Namun, satu salah faham memisahkan cinta yang baru berputik.

Dengan sinematografi indah dan jalan cerita yang menyentuh jiwa, Saling Tak Terlihat menjanjikan pengalaman menonton yang penuh makna.

RUNUT BUNYI

Lagu tema berjudul “Jadikan Aku Nadi Hidupmu”, ciptaan Ajai dan dinyanyikan oleh Lah Ahmad, dipilih sebagai OST rasmi telefilem ini.

Telefilem ini akan disiarkan pada 6 November 2025, jam 9 malam, eksklusif di platform UTV.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur