Fattah & Amira Disambut Meriah, Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland Raih 20.1 Juta Tontonan
October 20th, 2025 / Artikel
Menurut Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan, atau lebih mesra disapa Datuk Nana, acara eksklusif Hi-Tea The Garden of Love FATTMIRA bukan sekadar meraikan cinta dua figura terkenal itu, tetapi turut menandakan pelancaran rasmi karya pertama di bawah Usanita Entertainment, sebuah cabang kreatif di bawah platform UTV (Usanita TV).
“Hari ini, kita bukan sahaja meraikan pasangan Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group, tetapi turut memperkenalkan lagu pertama di bawah Usanita Entertainment berjudul Always Will, nyanyian Amira. Lagu ini turut dijadikan runut bunyi (OST) kepada telefilem Poskad Cinta Dari Auckland,” ujar Datuk Nana.
Telefilem tersebut menerima sambutan luar biasa walaupun baru sahaja dilancarkan pada 28 Ogos lalu, dengan mencatat lebih 20.1 juta tontonan di aplikasi UTV serta di semua platform media sosial. Jumlah tontonan yang terus meningkat ini membuktikan bahawa kandungan tempatan masih mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
Sementara itu, komposer terkenal Ajai turut berkongsi bahawa inspirasi menghasilkan lagu Always Will datang daripada jalan cerita dan suasana penggambaran telefilem tersebut.
“Saya cipta lagu ini berdasarkan sinopsis dan visual cerita. Saya sesuaikan range vokal dengan suara Amira kerana saya sudah lama tahu kemampuan serta warna suaranya yang unik,” jelas Ajai.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kasih dan glamor itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis seperti Sophia Albarakbah dan Nadeera Zaini, yang mempersembahkan lagu baharu berjudul Peluk, sekaligus menambahkan aura romantis pada acara berprestij tersebut.
Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland arahan Izuan Mokhtar menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan Izuan Mokhtar sendiri.
Mengisahkan tentang sekeping poskad yang tersalah alamat hingga mempertemukan dua jiwa dalam kisah cinta penuh emosi dan pengembaraan di bumi New Zealand, telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi UTV, yang menampilkan pelbagai kandungan tempatan berkonsep kekeluargaan, cinta dan nilai masyarakat.