Femforward 2025: Mengangkat peranan wanita, memacu tindakan
May 7th, 2025 / Artikel

BANDAR UTAMA, 7 Mei 2025 - Program berprestij Femforward 2025 telah berlangsung dengan jayanya di M World Hotel, Bandar Utama bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia dan Hari Ibu. Bertemakan “Accelerate Action in Women Community”, acara ini dianjurkan oleh Women in Logistics and Transport (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia dengan kerjasama HAWA Malaysia, Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) dan Synergy Connect Holdings Sdn Bhd sebagai pihak pengurusan utama Femforward.
Penganugerahan Femforward 2025 yang disampaikan kepada wanita dari pelbagai bidang menjadi simbol penghargaan terhadap ketokohan, dedikasi dan pencapaian mereka dalam sektor-sektor penting negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi HAWA Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perundingan WITI (MITI). Dalam ucapannya, beliau menegaskan:
“Dedikasi dan semangat wanita memungkinkan kita berhimpun pada hari ini untuk mengiktiraf sumbangan wanita yang tidak ternilai dalam pelbagai aspek kehidupan. Hari ini, kita tidak hanya meraikan wanita yang cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga menzahirkan penghargaan kepada kaum wanita.”
Sebagai sebahagian daripada program, satu forum khas bertajuk “Driving ESG Excellence” telah diadakan, menghimpunkan tokoh industri, pemimpin korporat dan pakar ESG bagi membincangkan peranan wanita dalam memperkasa agenda Environmental, Social and Governance (ESG), serta memperkukuh daya saing organisasi menerusi amalan mampan dan lestari.
Dalam sesi tersebut, Prof. Ts. Muhammad Zaly Shah, Presiden CILT Malaysia, mengumumkan bahawa Saito University College akan menawarkan biasiswa khas kepada wanita dalam bidang logistik bagi ahli WiLAT Malaysia, satu inisiatif penting dalam memupuk bakat serta kepimpinan wanita dalam sektor tersebut.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Kecemerlangan Sepanjang Hayat kepada Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam kepimpinan dan pembangunan wanita di Malaysia.
Femforward 2025 menjadi sebuah platform inklusif yang akan dijadikan acara tahunan, menghimpunkan pemimpin wanita, usahawan, profesional dan aktivis komuniti untuk memperkukuh jaringan kerjasama, memacu tindakan kolektif dan memperjuangkan aspirasi wanita ke arah masyarakat yang lebih progresif dan sejahtera.