USANITA TERIMA ANUGERAH WOMEN OF EXCELLENCE AWARDS 2021/22
March 24th, 2022 / Anugerah
SUKU pertama 2022 mencatat kenangan manis buat Usanita Sdn Bhd apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan menerima anugerah kecemerlangan Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA) bagi kategori Top Rising Women CEO Award in Publication & Event Management Industry, pada 24 Mac lalu.
Pemilihan Datin Adzliana sebagai penerima anugerah berdasarkan pencapaian hebat Usanita sepanjang tahun lalu termasuk terlibat di dalam penganjuran keusahawanan wanita termasuk Pencarian Nona Superwoman, program Perintis Usanita: Penjenamaan dan Pendigitalan serta acara-acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur di atas penganugerahan ini dan sekaligus menggambarkan Usanita sudah dilihat masyarakat walaupun kami baru berusia setahun. Saya sedar, sepanjang tahun lalu terlalu banyak program yang kami kendalikan termasuk yang dirancang dan tidak terancang seperti aktiviti CSR kepada mangsa banjir penghujung tahun lalu.
“Sebagai syarikat pemudah cara yang masih bertatih, saya berbangga dengan mempunyai pasukan yang begitu komited untuk meletakkan jenama Usanita seperti hari ini. Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu saya dan Usanita pelajari bagi meningkatkan penjenamaan dalam memperkenalkan peranan Usanita kepada umum.
“Terimakasih kepada penganjur yang memilih saya dan Usanita untuk berada di pentas menerima anugerah pada malam ini,” kata Datin Adzliana sejurus selepas menerima anugerah tersebut.
Majlis anugerah yang julung kalinya diadakan oleh penerbit majalah The CEO, FM Media Communications ini bertujuan meraikan dan memberi pengiktirafan serta menghargai sumbangan para usahawan terhadap industri, penggunaan teknologi dan pendekatan inovatif dalam menjalankan perniagaan secara mampan, sekaligus membantu merancakkan pembangunan ekonomi negara.
Malam gemilang di ballroom Hotel Shangri-La yang bertemakan Flower Fantasy itu dihadiri lebih 350 usahawan dari pelbagai latar belakang dan industri Malaysia.