GELARAN DATUK SATU TANGGUNGJAWAB
August 25th, 2023 / Artikel Anugerah
SUMBANGANNYA di dalam lapangan keusahawanan dengan membantu mengangkat golongan usahawan tempatan secara berterusan selama ini bukan rahsia lagi. Malah dalam kalangan usahawan, nama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan bukan asing.
Menerusi syarikat pemudah cara miliknya, Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana mula membina rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak seperti kementerian, korporat dan orang perseorangan demi membantu bangsa usahawan.
Jasa besarnya itu membawa kepada pengiktirafan oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka selepas memilih wanita kental ini untuk dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka bagi tahun 2023 pada 24 Ogos lalu.
“Saya tidak pernah terlintas untuk menerima gelaran ini tetapi pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Negeri Melaka sangat saya hargai dan menerimanya dengan penuh kesyukuran.
“Pengurniaan ini amat bermakna untuk Usanita Sdn Bhd dan bangsa usahawan lain, sekali gus memberi isyarat untuk saya bekerja lebih kuat lagi dalam membantu para usahawan. Tanggungjawab ini makin berat tetapi saya akan sahut dengan hati terbuka,” katanya.
Datuk Adzliana amat berterimakasih kepada Kerajaan Negeri Melaka di atas pengiktirafan ini.