MASTER CLICK USANITA KEMBANGKAN LAGI PAYUNG PERINTIS USANITA
January 30th, 2023 / Perintis Usanita Seminar
USANITA Sdn Bhd tidak pernah diam daripada aktiviti penjenamaan dan keusahawanan, lebih-lebih lagi untuk para usahawan di bawah payung Perintis Usanita.
Hujung Januari lalu, tepatnya pada 27 hingga 29 haribulan, syarikat pemudah cara yang disegani ini menganjurkan program Master Click Usanita bertempat di Waterway Villa, Bentong, Pahang yang disertai 40 usahawan Perintis Usanita.
Menariknya, mereka dibimbing oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan serta rakan-rakan strategik Usanita seperti Datuk Rosyam Nor, Zoey Rahman dan Azzam Sabtu bagi menyuntik semangat untuk terus kekal relevan di dalam perniagaan dan sentiasa positif berdepan cabaran mendatang.
Menurut Datin Seri Adzliana, Master Click Usanita bukan sekadar mengeratkan hubungan antara Perintis Usanita lama dan baru, malah mereka juga dipersembahkan dengan ilmu-ilmu keusahawanan serta memberi inspirasi supaya terus melangkah maju ke depan.
“Saya amat bangga dengan program ini kerana matlamat untuk melihat jaringan networking dalam kalangan Perintis Usanita dan juga para pembimbing tercapai dan saya percaya, jaringan kerjasama ini amat penting untuk seseorang usahawan melonjakkan bisnes masing-masing.
“Kita saling memerlukan dan di sini juga saya melihat konsep berniaga secara berjemaah. Di bawah payung Perintis Usanita, kami membentuk mereka sebagai keluarga,” kata Datin Seri Adzliana.
Selain itu, sepanjang tiga hari berkampung di Waterway Villa, kemahiran dan pengetahuan keusahawanan peserta-peserta Master Click Usanita turut diasah oleh speaker jemputan yang juga rakan strategik Usanita.
Program yang berkonsepkan aktiviti luar (outdoor) nampak menyeronokkan tetapi dalam masa yang sama, Perintis Usanita melalui pengalaman berharga untuk diri dan perniagaan mereka. Malah antara mereka turut membawa kakitangan bagi menyertai program ini.
Tuan Azzam yang terkenal sebagai Peak Performance Coach menyentuh tentang kepimpinan (leadership) di dalam sesebuah organisasi dan bagaimana berdepan cabaran untuk membawa syarikat ke tahap yang lebih positif dan tinggi.
Manakala pihak penganjur pula menyediakan modul Amazing Race yang memerlukan peserta menyelesaikan tugasan tentang pengetahuan mereka terhadap Usanita Sdn Bhd di tujuh ‘check point’ dan di ‘check point’ terakhir mereka berdepan dengan penilaian oleh Datin Seri Adzliana dan Datuk Rosyam.
Sesi ‘pillow talk’ sebelah malamnya bersama Datin Seri Adzliana, Datuk Rosyam dan Zoey makin menarik apabila ketiga-tiga ‘sifu’ ini berkongsi jatuh bangun mereka dalam perniagaan. Zoey misalnya berkongsi bagaimana beliau menggunakan media sosial terutama TikTok sebagai medium utama untuk perniagaan.
Datuk Rosyam pula menceritakan tentang usahasama Usanita dengannya bukan sekadar suka-suka tetapi ingin mencapai objektif yang lebih besar iaitu membantu usahawan-usahawan ini untuk terus maju.
Malam akhir Master Click Usanita menyaksikan semua peserta beragam dengan kostum Hindustan sempena tema Bollywood.