Meriah di Singapura, Siti Khadijah Halim tak menang tangan layan peminat sambil promosi drama Raya eksklusif UTV.

March 9th, 2026 / Artikel

Platform penstriman Over-The-Top (OTT) tempatan, UTV, terus memperluaskan pengaruhnya di peringkat antarabangsa apabila menerima sambutan luar biasa di acara gaya hidup popular, Celebfest yang berlangsung di Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre baru-baru ini.

Kehadiran UTV bukan sekadar ‘mencuci mata’, sebaliknya menjadi tumpuan utama pengunjung yang berpusu-pusu ke reruai (booth) mereka bagi mendapatkan akses kepada kandungan eksklusif Malaysia yang kini boleh ditonton secara rasmi oleh warga Singapura. Apa yang menarik, penonton di republik itu kini boleh menikmati aplikasi UTV dengan harga langganan serendah SGD3.90 sahaja.

Di sebalik deretan bintang popular yang dibawa, pelakon jelita, Siti Khadijah Halim nyata menjadi ‘magnet’ utama sepanjang festival tersebut. Populariti bintang muda ini terbukti apabila dia menerima kehadiran peminat paling ramai sehingga mencetuskan barisan panjang yang luar biasa di perkarangan lokasi.

Difahamkan, peminat tegar Siti Khadijah mula berkumpul sejak siang hari demi memastikan mereka tidak terlepas peluang untuk sesi bergambar pada waktu malam. Sesi meet and greet tersebut berlangsung selama hampir dua jam tanpa henti, memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh pelakon itu di pasaran Nusantara.

Kehadiran Siti Khadijah ke Singapura juga adalah sebagai misi mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Takdirnya Cinta, yang bakal menemui penonton secara eksklusif di platform UTV menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Presiden UTV yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan, meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada peminat di Singapura. Baginya, ini adalah isyarat jelas bahawa karya seni dari Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati penonton serantau.

“Alhamdulillah, kami sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pengunjung Celebfest. 

“Ramai yang datang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UTV dan tidak kurang juga yang terus memuat turun aplikasi kami secara terus di sini.

“Ini membuktikan kandungan tempatan kita mempunyai peminat tersendiri di Singapura. 

“Kami berharap UTV dapat menjadi platform utama yang mendekatkan lagi penonton di rantau ini dengan karya-karya berkualiti dari Malaysia,” katanya.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur