RUANG USANITA PAPAR KONTEN BERILMU

July 3rd, 2024 / Artikel

SELAIN mengadakan seminar dan kelas untuk menyampaikan ilmu-ilmu keusahawanan secara fizikal selama ini, namun USANITA Sdn Bhd tidak ketinggalan untuk menggunakan platform-platform media baharu termasuk YouTube. 

Terkini, syarikat perundingan perniagaan ini semakin rancak menghasilkan konten-konten untuk pengisian media sosial mereka terutama YouTube. Perkongsian ilmu-ilmu perniagaan, rakaman kejayaan para usahawan di seluruh negara serta penerbitan beberapa program video adalah antara usaha menyampaikan ilmu kepada penonton. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan, platform YouTube tidak harus ditinggalkan oleh mereka yang berniaga kerana selain untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan, perkongsian di laman digital itu penting bagi penjenamaan. 

Di atas kesedaran itu, Datuk Adzliana mencetuskan pelbagai idea termasuk menerbitkan program audio siar (podcast) yang diberi nama RUANG USANITA dan diacarakan oleh pengacara dan selebriti popular, Awal Ashaari.

“RUANG USANITA adalah antara program dalam pipeline kami untuk menghasilkan lebih banyak konten media sosial. Bagaimanapun setiap konten kami mestilah yang mempunyai nilai dan berilmu seperti RUANG USANITA ini. 

“Program ini kami mulakan dengan 12 episod terlebih dahulu sebagai projek pengenalan dan ia merangkumi pelbagai topik sosial tanpa sempadan, baik dari aspek agama, perniagaan, persekolahan, akademik dan selebriti.

“Selama satu jam bersiaran bagi setiap siaran rasanya ia cukup untuk penonton mengaut manfaat daripada perkongsian setiap tetamu jemputan dan saya amat yakin dengan kemampuan Awal untuk mengendali program-program sosial begini,” katanya. 

Dalam pada itu, Datuk Adzliana tidak menafikan kehadiran RUANG USANITA di platform YouTube bakal mengukuhkan lagi penjenamaan USANITA sebagai sebuah syarikat pemudahcara dalam industri keusahawanan.

Turut sama di dalam RUANG USANITA sebagai tetamu jemputan ialah Faiz Dickie, Fedtri Yahya, Daie Izzhar Nazri dan Azzam Sabtu. Program ini boleh ditonton pada setiap Khamis, jam 10 malam di YouTube USANITA.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur