RUMAH TERBUKA JADI MEDAN PERTEMUAN RAKAN STRATEGIK USANITA
May 2nd, 2024 / Artikel
SABAN tahun USANITA Sdn Bhd tidak pernah lupa meraikan rakan-rakan strategik, selebriti dan wakil media di dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Hotel EQ Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu.
Keraian ini juga menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Dato Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan sebagai menghargai komitmen dan kerjasama yang terjalin selama ini.
“Selain itu, Rumah Terbuka USANITA ini juga menjadi medan pertemuan antara rakan-rakan perniagaan USANITA yang mungkin sebelum ini tidak mempunyai masa untuk duduk bersama bertukar khabar dan pandangan.
“Sambil mengerat silaturahim dan menjamu ketupat rendang, majlis begini secara tidak langsung turut bertindak sebagai ruang untuk menjalinkan urusan niaga atau match making. Tidak hanya para usahawan malah tetamu jemputan Rumah Terbuka USANITA merangkumi dari pelbagai industri termasuk wakil Putrajaya.
“Justeru itu saya melihat majlis begini mampu menjadi ruang untuk mereka mengembang idea dan perniagaan. Saya amat berbangga suasana begini digunakan sebaik mungkin sesama usahawan,” katanya.
Antara orang kenamaan dan selebriti yang kelihatan di majlis bermakna itu ialah mantan Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri; Tan Sri Shahrizat Jalil, Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari, Misha Omar, Nabila Razali dan Zoey Rahman. Hadirin dihiburkan oleh Hael Husaini dan Coca Music.
“Alhamdulillah majlis berlangsung dengan jayanya dan saya amat berterimakasih kepada semua yang memberi komitmen serta hadir menyokong USANITA selama ini,” kata Dato Adzliana.