Selebriti popular meriahkan Pesta Raya CelebFest di Singapura
March 20th, 2025 / Artikel

Antara barisan selebriti yang turut memeriahkan acara sebagai duta jenama Amber di bawah rangkaian perniagaan Usanita Sdn. Bhd. termasuklah pelakon Fattah Amin, Nora Danish, dan Sophia Albarakbah, serta penyanyi terkenal Aina Abdul dan pasangan selebriti Scha Al Yahya dan Awal Ashaari. Mereka bukan sahaja tampil bergaya dalam sesi fotografi, malah turut membantu merancakkan promosi dan menghiburkan para pengunjung.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Usanita, Shafiq Ikhwan berkata kehadiran selebriti ini bukan sahaja meningkatkan permintaan terhadap koleksi Romantics Raya pihaknya, malah membantu memperkukuhkan jenama itu di peringkat serantau.
"Kami percaya pemilihan keenam-enam duta ini sangat tepat kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengaruh besar, tetapi turut membantu membangunkan jenama Amber.
"Kehadiran mereka meningkatkan permintaan terhadap koleksi ini," katanya.
Tambahnya lagi, kolaborasi bersama selebriti terkenal ternyata memberi impak yang baik dan positif sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk berkembang ke luar negara.
"Pengaruh selebriti dalam dunia fesyen sememangnya tidak boleh disangkal. Mereka bukan sahaja menjadi inspirasi kepada peminat, malah berjaya menjadikan Amber semakin dikenali ramai di Malaysia dan luar negara.
"Kami melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan besar dan akan terus bekerjasama dengan ikon-ikon berpengaruh bagi memperkukuhkan jenama ini di pasaran serantau," katanya.
Tambahnya, penyertaan di acara itu bukan sekadar peluang jualan, tetapi juga platform terbaik untuk mengukuhkan kehadiran jenama itu di peringkat antarabangsa.
"Kami bangga apabila menjadi sebahagian daripada program ini kerana ia bukan sekadar festival malah merupakan perhimpunan jenama terkenal, selebriti serta usahawan hebat dari rantau ini.
"Ini juga peluang untuk berkongsi inspirasi, membina jaringan dan memperkukuhkan hubungan serantau," katanya.
Acara CelebFest yang berlangsung selama tiga hari adalah antara festival membeli-belah terbesar menjelang Aidilfitri.
Ia menghimpunkan jenama terkenal serta pembabitan selebriti dari Malaysia, Singapura dan Brunei.