Showcase Intim Hael Husaini Raih Sambutan Luar Biasa, Tiket Habis Dalam Masa 17 Minit
May 3rd, 2025 / Artikel

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2025 – Tiket untuk showcase eksklusif Antonim Night oleh penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, habis terjual dalam tempoh kurang 30 minit selepas jualan dibuka secara dalam talian atau dalam masa yang tepat dalam tempoh 17 minit sahaja, sekali gus membuktikan populariti dan sokongan luar biasa daripada para peminatnya.
Showcase tersebut dijadualkan berlangsung pada 31 Mei 2025 (Sabtu), jam 8.30 malam bertempat di Nero Event Space, PJPAC @ 1 Utama E, dengan kapasiti terhad kepada hanya 300 penonton. Ia dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team.
Hael menyifatkan showcase kali ini sebagai sesuatu yang sangat peribadi, memberi tumpuan khusus kepada lagu-lagu dari album pertamanya, Antonim, yang digelar sebagai “album bayi pertama” oleh penyanyi berkenaan.
“Showcase ini ibarat hadiah buat peminat selepas konsep asal yang dirancang sebelum ini tidak menjadi. Kali ini saya ingin tampil lebih intim, dengan lagu-lagu yang dekat di hati saya dari album Antonim,” ujar Hael ketika ditemui.
Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, mula dikenali menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-4, sebelum menempa kejayaan besar apabila lagu Jampi, ciptaannya sendiri, menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-32 pada tahun 2018. Beliau terus melakar kejayaan menerusi karya-karya popular seperti Haram (bersama Dayang Nurfaizah), Hajat, dan Senyuman, serta karya untuk penyanyi baharu seperti Nadeera menerusi lagu Bukan Lagi Kita.
Menurut Hael, beliau amat terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap jualan tiket.
“Saya jangka jualan mungkin ambil masa sehari, tapi bila tengok tiket habis dalam 17 minit, saya sangat terharu. Saya tak sangka sambutan sebegitu hebat, dan ia satu penghargaan besar buat saya.”
Ketika ditanya mengenai kemungkinan artis jemputan, Hael memilih untuk merahsiakan perincian tersebut buat masa ini.
“Kita tunggu malam itu. Yang boleh saya katakan, akan ada sedikit preview untuk apa yang bakal hadir sepanjang tahun 2025. Peminat yang hadir akan jadi antara yang pertama menyaksikan kejutan ini.”
Hael turut mengesahkan bahawa beliau terlibat sepenuhnya dalam penyusunan muzik untuk persembahan ini dan menjanjikan susunan yang berbeza daripada versi studio.
“Saya memang akan sentiasa terlibat dalam setiap persembahan kerana saya mahu sampaikan sesuatu yang benar-benar mewakili diri saya sebagai seorang artis. Showcase ini akan mempersembahkan sisi lain lagu-lagu dalam Antonim dan beberapa lagu saya sebelum ini dengan nafas baharu.”
Showcase selama dua jam itu bakal menyajikan sekitar 10 buah lagu yang dipersembahkan secara langsung dengan iringan pemuzik profesional.
Mengenai persiapan kesihatan, Hael turut mengakui bahawa penjagaan suara dan fizikal sangat penting, lebih-lebih lagi menjelang hari persembahan.
“Kebiasaannya, seminggu sebelum persembahan besar saya akan kurangkan interaksi dengan orang ramai dan beri fokus kepada kesihatan – ambil vitamin, rehat secukupnya. Penyanyi memang terdedah kepada risiko seperti kehilangan suara atau demam pada saat-saat akhir, tapi apa pun yang berlaku, ‘the show must go on’.”
Hael juga mengakui berasa gementar namun teruja untuk persembahan ini, memandangkan peluang seperti ini bukan selalu datang dalam karier seseorang artis.
“Saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh Usanita dan Mask Team. Kalau ada rezeki selepas ini, harapnya kita boleh bawa showcase ini ke lokasi yang lebih besar. Kita cuba yang terbaik.”