UNWRAPPED: MENYELAK TABIR LUKA SELEBRITI
July 4th, 2024 / Artikel
USANITA Sdn Bhd tidak akan berhenti atau kenal erti penat dalam memberi inspirasi kepada masyarakat yang bukan hanya melibatkan aktiviti keusahawanan, malah menyuntik semangat mereka yang pernah terjelepuk ketika meneruskan kehidupan.
Melalui program terbaru, UNWRAPPED yang bakal ditayangkan menerusi saluran YouTube Usanita bermula 4 Ogos ini, Usanita cuba mengketengahkan cerita-cerita mereka terutamanya selebriti yang kembali bangkit selepas kejatuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, Usanita masih mengutamakan aktiviti utama syarikat yakni pembangunan keusahawanan tetapi menerusi UNWRAPPED, mereka ingin menyuntik inspirasi kepada audien sasaran.
“Di dalam dunia serba mencabar hari ini terutama yang berkaitan perekonomian, ramai juga yang kecundang dalam mengawal emosi sehingga berlaku kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya termasuk perceraian dan pergaduhan.
“Rata-rata masalah ekonomi akan membentuk permasalahan ekonomi rumah tangga. Sedangkan semua itu boleh dihadapi dan dikawal dengan pemikiran yang tenang dan waras.
“Melalui UNWRAPPED, Usanita mengajak beberapa tetamu undangan untuk berkongsi pengalaman mereka menangani kehidupan sehingga mereka melepasi dengan jayanya. Program ini adalah kisah di sebalik spotlight, di sebalik kemilau kejayaan seseorang,” kata Datuk Adzliana.
Program berdurasi 30 minit yang dihoskan oleh gandingan Datuk Adzliana dan Awal Ashaari ini menampilkan jenama-jenama besar pentas seni dan media sosial termasuk Ziana Zain, Aina Abdul, Erni Zakri, Ning Baizura, Dr Say dan Mariam DurianKimchi.
Talkshow sebanyak 20 episod yang telah dirakamkan baru-baru ini, UNWRAPPED kata Datuk Adzliana, bercerita tentang kesukaran tetamu-tetamunya yang tidak pernah diketahui oleh peminat mahupun penonton.
“Selama ini peminat hanya tengok yang indah-indah sahaja menerusi media massa dan media sosial tetapi struggle mereka, hanya mereka yang tanggung peritnya.
“Saya sendiri ketika menemubual mereka pun tidak menyangka begitu banyak halangan dan dugaan setiap mereka di belakang tabir. Bukan mudah untuk menjadi selebriti atau pempengaruh yang cuba sedaya mungkin tampil yang terbaik buat peminat dan pengikut,” katanya.
Datuk Adzliana amat berharap UNWRAPPED menjadi wadah positif untuk penonton terutama netizen di luar sana supaya berfikir dahulu sebelum melontar kritikan.