USANITA BAKAL BEKERJASAMA MEMBANGUN USAHAWAN DENGAN KUSKOP
August 10th, 2022 / Kementerian
USANITA Sdn Bhd tidak pernah lekang daripada aktiviti, baik bersama para usahawan yang kini ligat menimba ilmu menerusi program Perintis Usanita, mahupun mengadakan kunjungan hormat ke kementerian-kementerian dan agensi berkaitan dengan keusahawanan.
Tanggal 10 Ogos lalu, Usanita yang diterajui oleh Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan selaku Ketua Pegawai Eksekutif membawa pasukannya ke Putrajaya bagi menjalinkan ukhuwah bersama pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Kehadiran Usanita disambut mesra oleh Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Muslimin Yahaya yang turut melontarkan pandangan dan memberi kata-kata nasihat kepada Usanita Sdn Bhd.
“Segala cadangan dan pandangan YB Timbalan Menteri kami terima dengan terbuka dan sangat kami hargai terutama yang menyentuh mengenai INSKEN yang banyak membuat latihan kepada usahawan.
“Latihan di INSKEN bagaikan lesen besar untuk seseorang usahawan mendapatkan kemudahan seperti pinjaman perniagaan dari mana-mana bank,” kata Datin Adzliana yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Menurut ‘Iron Lady’ ini, Usanita sentiasa mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan KUSKOP kerana mempunyai misi yang seiring di dalam pembangunan usahawan.