USANITA bawa misi diplomasi budaya dan perniagaan ke Pasaran Australasia
July 12th, 2025 / Artikel

AUCKLAND, – Misi diplomasi budaya Malaysia terus diperkukuh apabila Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Bridge to Brilliance (BtB) 4.0: Australasia, inisiatif berimpak tinggi anjuran USANITA Group bagi memperkasa wanita dan golongan B40 Malaysia ke pasaran global.
Program yang dilancarkan secara simbolik di Hotel Park Hyatt Auckland itu membuka tirai kepada rangkaian aktiviti diplomasi ekonomi dan budaya yang melibatkan komuniti wanita Malaysia, bermula di New Zealand sebagai pintu masuk ke rantau Australasia.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Puan Yang Terutama Mazita Marzuki menyifatkan kerjasama strategik ini sebagai manifestasi kekuatan Malaysia dalam bidang keusahawanan, budaya dan hubungan antarabangsa yang semakin dinamik.
“Pejabat Suruhanjaya Tinggi menyokong penuh pelaksanaan program ini yang mencerminkan kekuatan Malaysia sebagai negara berdaya saing dan terbuka, khususnya dalam memperkasa wanita sebagai pemacu ekonomi rentas sempadan,” kata beliau.
Program BtB 4.0 turut mendapat pengiktirafan sebagai salah satu platform sokongan diplomasi rakyat sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, selaras dengan agenda keterangkuman serantau yang mengangkat peranan wanita, belia dan komuniti akar umbi dalam pembangunan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mahu melihat lebih banyak keterlibatan rakyat – bukan sekadar diplomasi kerajaan-ke-kerajaan, tetapi juga kerjasama dari bawah ke atas. USANITA adalah contoh terbaik bagaimana NGO, usahawan wanita dan penggiat seni boleh memainkan peranan strategik di peringkat antarabangsa,” tambah Mazita.
Antara komponen utama BtB 4.0 yang diumumkan termasuk pertunjukan fesyen warisan tradisional Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia ke-62 di Wellington, penganjuran kempen “Taste of Malaysia” untuk mempromosikan produk halal tempatan, serta tayangan filem pendek dan karya pelajar Malaysia sebagai bentuk diplomasi budaya.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Datuk Seri Prof Dr Hasan berkata, pelaksanaan fasa Australasia ini bukan sahaja membuka ruang pasaran baharu, malah meletakkan wanita Malaysia sebagai aktor utama dalam arena diplomasi budaya dan ekonomi.
“Ini bukan sekadar galakan moral. Sokongan Suruhanjaya Tinggi adalah satu bentuk kepercayaan terhadap kapasiti wanita Malaysia untuk membawa jenama negara ke pentas dunia secara bermaruah dan progresif,” kata beliau.
Dalam acara yang sama, Adzliana turut mengumumkan penerbitan dua telemovie bertemakan kekeluargaan dan cinta bernuansa Malaysia–New Zealand, iaitu Poskad Cinta dari Auckland dan Saling Tak Terlihat, yang sedang menjalani penggambaran di sekitar bandar raya Auckland.
Menariknya, pengarah tersohor Erma Fatima juga diumumkan akan menerajui penggambaran filem berjudul Nafs terbitan USANITA yang dijadualkan bermula September depan, sekali gus menyuntik elemen arus perdana dalam diplomasi budaya Malaysia.
“Kami percaya karya seni adalah alat diplomasi yang kuat. Apabila masyarakat New Zealand dan Australia menyaksikan hasil tangan wanita Malaysia di layar mereka – ia akan membuka persepsi baharu tentang siapa kita dan apa yang kita tawarkan,” ujar Adzliana.
BtB merupakan inisiatif yang telah dilaksanakan dalam tiga fasa terdahulu — di Indonesia (2022–2023) dan United Kingdom (awal 2025). Fasa di UK mencatat sejarah tersendiri apabila USANITA menandatangani MoU bersama Said Business School, Universiti Oxford, untuk penyediaan pendidikan eksekutif kepada usahawan wanita Malaysia.
Dalam konteks hubungan dua hala, pelaksanaan BtB 4.0 juga mendapat momentum baharu hasil lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada September 2024, yang membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi, kelestarian dan hubungan rakyat dengan rakyat.
Mazita optimis kerjasama ini akan memperkukuh lagi diplomasi pelbagai jalur (multi-track diplomacy) Malaysia dan menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih bermakna antara Malaysia dan New Zealand.