USANITA-KUSKOP RANCANG PROGRAM BERSAMA

August 15th, 2023 / Artikel Kementerian

BIARPUN jenama Usanita Sdn Bhd telah dikenali dalam lapangan keusahawanan negara, namun badan pemudah cara ini tidak putus-putus untuk mengadakan kunjungan hormat ke kementerian-kementerian, agensi berkaitan dan sektor korporat.

Pada 15 Ogos 2023, Usanita yang diterajui oleh Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, melakukan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Senator  Saraswathy Kandasami yang terletak di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

“Kami sentiasa memperuntukkan masa untuk menjalinkan kerjasama dengan lebih ramai pihak termasuk kementerian yang tidak jemu membantu syarikat pemudah cara seperti Usanita. Ternama atau terkenal bukan tiket untuk kita berpeluk tubuh menunggu, tetapi kita perlu bertindak proaktif membuat tindakan. 

“Kunjungan hormat ke pejabat YB Senator Saraswathy di KUSKOP ini antara tindakan Usanita untuk sentiasa merapatkan ukhuwah antara Usanita dengan pihak kementerian demi kepentingan bersama dalam membantu memperkasakan ekonomi rakyat,” kata Datuk Adzliana. 

Dalam pertemuan lebih satu jam itu, Usanita menjelaskan lagi peranannya di dalam dunia keusahawanan yang membantu ramai usahawan terutama daripada golongan B40 sebelum ini serta menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan. 

Menurut Datuk Adzliana, Usanita berbesar hati menerima sokongan KUSKOP dalam menjayakan lebih banyak program keusahawanan dan akan mengadakan usahasama tidak lama lagi. 

“Mereka (KUSKOP) bukan sahaja membantu mereka yang telah stabil dalam perniagaan, malah turut memberi sokongan kepada golongan banduan, belia wanita yang tercicir dan mereka yang berdepan masalah psikologi,” katanya yang sedang merancang mengadakan program keusahawanan bersama KUSKOP.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur