Usanita Lancar Program Affiliate Wanita Berjaya bagi Memperkasa Wanita Asnaf

December 8th, 2025 / Artikel

USANITA Sdn Bhd terus mengukuhkan peranannya sebagai organisasi berimpak sosial dengan memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu, Program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, yang dikhususkan untuk wanita asnaf di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Dilaksanakan dengan kerjasama Maybank Islamic, program ini membuka peluang kepada suri rumah, wanita tidak bekerja serta anak perempuan asnaf untuk menjana pendapatan dari rumah melalui platform popular seperti TikTok Shop dan Shopee — tanpa perlu mengeluarkan modal.

Program ini memberi penekanan kepada kemahiran pemasaran digital dan model perniagaan affiliate yang mudah diikuti. Peserta hanya perlu menggunakan telefon pintar, dengan sasaran pendapatan permulaan sekurang-kurangnya RM300 sebulan. Selain itu, mereka turut digalakkan mencapai simpanan pertama sebanyak RM1,000 sebelum tamat program.

“Matlamatnya adalah agar peserta mampu menjana pendapatan dari rumah melalui platform dalam talian,” katanya.

Tambahnya, pengalaman Usanita membimbing usahawan B40 dan M40 selama ini menjadi asas kepada pembangunan modul pembelajaran yang lebih tersusun serta berimpak tinggi.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyifatkan program tersebut sebagai inisiatif yang selari dengan perkembangan ekonomi digital semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr Hasan, berkata inisiatif ini dibangunkan bagi membuka pintu baharu kepada wanita asnaf untuk lebih berdaya saing dalam ekonomi digital.

“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa wanita supaya mereka lebih stabil, berdikari dan mampu bersaing,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa fleksibiliti pendapatan digital amat sesuai untuk wanita, terutamanya suri rumah yang ingin menyumbang kepada ekonomi keluarga tanpa perlu bekerja sepenuh masa.

“Pemasaran affiliate bukan sahaja membuka ruang pendapatan baharu, malah membantu aliran kewangan keluarga asnaf menjadi lebih kukuh,” ujarnya.

Program yang dijangka bermula awal tahun depan ini menjadi satu lagi pencapaian penting Usanita dalam misinya memperkasa wanita secara kolektif. Melalui latihan praktikal, kemahiran digital dan akses kepada platform e-dagang, lebih ramai wanita asnaf dijangka dapat membina pendapatan sendiri serta meningkatkan taraf hidup keluarga.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur