Usanita Lancar UTV, Platform OTT Baharu Dengan Pelbagai Kandungan Eksklusif
April 25th, 2025 / Artikel

Platform UTV yang dijangka dilancarkan rasmi hujung Mei ini tampil dengan tagline ‘Stream For You’, menonjolkan pengalaman hiburan lebih peribadi, inklusif dan menyentuh emosi—seiring identiti masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Berbeza daripada platform lain, UTV memberi fokus kepada suara autentik, kisah bermakna serta karya asli tempatan, selain mengiktiraf peranan wanita dalam industri hiburan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, penubuhan UTV bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk menonjolkan karya di pentas digital, selain memperluas capaian ke peringkat serantau. UTV bakal menyajikan pelbagai kandungan premium seperti drama bersiri, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara, serta kandungan gaya hidup dan belia yang segar, menepati citarasa generasi digital masa kini. Lebih menarik, Usanita Entertainment turut melantik pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima, sebagai Channel Advisor demi memastikan kualiti produksi sentiasa di tahap terbaik dan kompetitif.
Selain memperkenalkan UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan istimewa di bawah kerjasama dengan Mask Team, yang akan diadakan di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC). Persembahan pertama, An Evening With Nadeera Zaini, dijadualkan pada 30 Mei 2025 (Jumaat), diikuti Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei 2025 (Sabtu). Kedua-dua acara bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, menjanjikan persembahan muzik eksklusif bersama artis tempatan berbakat besar.
Datuk Adzliana berkata, Usanita Entertainment komited mendekatkan seni dan muzik tempatan dengan peminat menerusi penganjuran acara seperti ini.
Kesemua pengumuman ini dibuat dalam suasana meriah di Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd di Grand Hyatt Kuala Lumpur, yang turut dimeriahkan selebriti terkenal seperti Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Erma Fatima, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Nadeera, Hael Husaini dan ramai lagi.