USANITA MALL JAGA EKSKLUSIVITI PRODUK DAN JENAMA
May 17th, 2023 / Artikel Rakan Strategik
SEJAK dilancarkan Februari 2023, platform e-dagang milik Usanita Sdn Bhd, Usanita Mall kini berjaya menghimpunkan lebih 50 usahawan berdaftar yang terdiri daripada Perintis Usanita serta VIP Merchant seperti produk Adraa by Datuk Rosyam Nor, RR daripada pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini dan Mikaseries milik Zoey Rahman.
“Di bawah payung Usanita Mall, kami menjaga kualiti dan eksklusiviti produk industri kecil dan sederhana (IKS) kerana kami tidak mahu platform ini kelihatan seperti lambakan produk di pasar malam sebagaimana kebanyakan platform e-dagang yang lain.
“Kami tidak mahu ramai orang pandang rendah pada produk IKS dan disebabkan itu Usanita turun padang membantu sendiri membangunkan jenama mereka dari aspek pembungkusan baharu pada produk selain sebagai penasihat.
“Menerusi platform ‘mall’ ini, kami di Usanita perlu menjaga visual produk mereka supaya nampak kemas dan lebih menarik, memberi tunjuk ajar bagaimana visual yang baik dapat membantu penjenamaan mereka ketika berada di platform dalam talian.”
Kata-kata di atas disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan dalam satu sidang media khas sempena majlis Rumah Terbuka Usanita di Hotel Pullman Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu.
Menurut ikon bisnes wanita tersebut, Usanita Mall yang boleh dilayari menerusi www.usanitamall.com ini memberi peluang kepada Perintis Usanita dan usahawan golongan B40 untuk menggunakan platform berkenaan dengan memperoleh pelbagai manfaat serta menjana pendapatan lebih tinggi.
Usaha ini juga katanya, telah diperkuatkan dengan kebersamaan selebriti terkenal, Datuk Rosyam Nor yang sudi memberi peluang menggunakan wajah komersilnya pada label pembungkusan bagi 50 produk Perintis Usanita yang memberi tambah nilai (added value) kepada usahawan secara eksklusif.
“Menerusi usaha proaktif oleh Usanita ini telah membuka mata usahawan IKS tentang pentingnya penjenamaan untuk mereka memasarkan produk masing-masing dan tidak lagi terikat dengan cara konservatif.
“Hari ini, produk IKS bukan sekadar jual kerepek tetapi merangkumi industri perkhidmatan seperti cuci rumah, fotografi dan mencuci bangunan, dan semua itu ada di Usanita Mall,” katanya.
Dalam sidang media yang turut dihadiri rakan strategik Usanita seperti Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari dan Zoey Rahman itu, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan turut berkongsi tentang majlis apresiasi yang akan diadakan khas untuk Perintis Usanita terpilih berdasarkan laporan kewangan IKS yang berjaya mencecah jualan sehingga RM300,000.
Menurutnya, majlis apresiasi itu mengketengahkan 10 kategori usahawan dengan satu hadiah juara yang bakal membawa pulang wang tunai serta geran daripada kementerian berkaitan.
“Majlis apresiasi ini bukan sahaja untuk para usahawan mendapat pendedahan menerusi anugerah tetapi jaringan perniagaan,” katanya.