USANITA PERKASAKAN NONA SUPERWOMAN AWARD 2022

January 11th, 2023 / Artikel

“KOLABORASI Usanita Sdn Bhd bersama Nona kali ini suatu permulaan tahun 2023 yang sangat baik, kerana kedua-dua pihak sedia maklum yang majlis pengiktirafan Nona Superwoman Awards ini bukan kerjasama pertama kami. 

“Sebelum ini Usanita dan Nona mencipta sejarah menerbitkan program Pencarian Nona Superwoman pada tahun 2021 bagi melahirkan usahawan-usahawan wanita dalam kalangan M40 dan B40 yang terkesan pandemik Covid-19 dan ternyata kerjasama itu membuahkan hasil yang positif.”

Demikian kata-kata Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan ketika diajukan soalan oleh pihak media di majlis penganugerahan buat wanita berjaya dan berinspirasi yang diadakan dua tahun sekali itu. 

Kali ini Usanita Sdn Bhd tampil sebagai penaja utama Nona Superwoman Award 2022, bukan sekadar mengukuhkan penjenamaannya sebagai badan pemudah cara dan penganjuran acara, malah ia sebuah kesinambungan dalam memperkasakan wanita-wanita Malaysia. 

Pada malam itu juga, Datin Seri Adzliana melancarkan market place Usanita Mall yang menjadi pusat sehenti para usahawan mempromosikan produk mereka. Usai pelancaran, penyanyi popular tanah air, Dayang Nurfaizah diberi penghormatan menyanyikan jingle Usanita bertajuk Aspirasi Usanita. Lagu ini juga buat pertama kalinya diperdengarkan di depan khalayak ramai. 

Malam gilang-gemilang yang bertemakan The Oscar Glam yang diadakan di M Resort & Hotel Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Tengku Mahkota Kelantan, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra dan Yang Amat Berbahagia Ton Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib.

Berdasarkan pencapaian sepanjang 2022, penganjur mengiktirafkan Usanita dan Datin Seri Adzliana masing-masing dengan anugerah Nona Best Business Development SMS Award dan Nona Best Emerging CEO Award.

Menurut Datin Seri Adzliana, kedua-dua anugerah menjadi pemangkin semangat untuk beliau membawa Usanita ke tahap yang lebih tinggi bersama usahawan di bawahnya.

“Fokus kami masih sama untuk memperkasakan ekonomi golongan wanita untuk terlibat di dalam keusahawanan daripada skop kecil kepada perniagaan berskala besar. Usanita sentiasa menyusun strategi dalam usaha ini termasuk bekerjasama dengan selebriti untuk membolehkan perniagaan golongan yang dibantu dapat berkembang dengan lebih pantas dan meluas.

“Ini juga merupakan langkah Usanita untuk give back to community dan menerusi kerjasama dengan Datuk Rosyam Nor selaku duta penjenamaan dan pendigitalan Usanita Sdn Bhd, kami mensasarkan pemasaran yang lebih meluas untuk setiap produk atau servis usahawan di bawah kami,” katanya. 

Tahun 2023 menjadi tahun yang semakin padat untuk Usanita mengatur jadual bagi meneruskan usahanya memperkasakan bangsa usahawan di bawahnya yang turut dikenali sebagai Perintis Usanita.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur