USANITA-PERKESO BUKA RUANG PEKERJAAN MENERUSI MYFUTURE JOBS
March 2nd, 2024 / Artikel
SELAMA tiga hari awal Mac lalu USANITA Sdn Bhd berganding bahu dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengadakan Karnival MYFuture Jobs yang memfokuskan orang kelainan upaya (OKU) dan lepasan TVET (Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional).
Bertempat di IDCC Shah Alam, karnival itu mengumpul lebih 190 syarikat yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 21,000 tenaga kerja baharu.
Dengan tanda pagar #tiadayangterpinggir, program ini amat berguna kepada mereka yang masih mencari peluang pekerjaan tanpa meminggirkan orang kelainan upaya di mana 49 OKU terpilih dalam temuduga di sepanjang tiga hari program berlangsung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan, tema #tiadayangterpinggir dipilih oleh USANITA dan PERKESO kerana ramai yang beranggapan kebanyakan karnival pekerjaan hanya terbuka untuk mereka lepasan sekolah atau lepasan universiti.
“Kali ini kami membuka peluang dan ruang kepada semua kategori termasuk lepasan TVET dan OKU kerana mereka bukan sahaja memerlukan pekerjaan tetapi negara juga memerlukan kepakaran mereka.
“Saya berharap sangat program-program seperti ini dapat membantu mereka mencari pekerjaan dan saya percaya ini juga peluang untuk mereka membuktikan kemampuan termasuk OKU seperti yang ditunjukkan oleh 49 individu OKU terpilih dalam sesi temuduga.
“USANITA adalah platform yang menyatukan komuniti, industri dan usahawan, jadi ini kerjasama dengan PERKESO ini sangat tepat untuk kami mengadakan seminar, bengkel, latihan dan sebagainya kerana USANITA boleh dijadikan sebagai medan pertemuan,” kata Datuk Adzliana.
Pada hari pembukaan Karnival MYFuture Jobs itu juga menyaksikan majlis penyerahan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Datuk Adzliana dan Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.