USANITA Perluas Fesyen Sopan Halal ke Pasaran Antarabangsa, Türkiye Jadi Destinasi Strategik

January 14th, 2026 / Artikel

ISTANBUL, 14 Januari 2026 — Menyedari potensi besar industri fesyen Islamik di peringkat global, USANITA Sdn. Bhd. (USANITA) giat meneroka peluang memperluas promosi fesyen sopan halal atau halal modest fashion (HMF) ke negara-negara Islam yang mewakili hampir dua bilion penduduk dunia, dengan Türkiye dipilih sebagai antara destinasi strategik awal.

Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, Istanbul menawarkan potensi pasaran yang signifikan memandangkan umat Islam masa kini bukan sahaja menitikberatkan pematuhan aurat, malah semakin peka terhadap ketelusan rantaian bekalan termasuk penggunaan bahan mentah halal serta amalan pekerjaan yang beretika dan patuh syariah.

Menurut beliau, perubahan ini mencerminkan landskap pengguna Muslim global yang semakin sedar bahawa konsep halal merangkumi keseluruhan ekosistem pengeluaran, dan bukan terhad kepada produk akhir semata-mata.

Inisiatif HMF tersebut turut memanfaatkan momentum hubungan dua hala Malaysia–Türkiye yang semakin kukuh, selari dengan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu minggu lalu.

“Berdasarkan kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mengetahui sama ada pakaian yang digunakan dihasilkan daripada bahan halal serta tidak melibatkan unsur yang ditegah dalam Islam seperti penindasan dan eksploitasi pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar. Turut hadir Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Istanbul, Sadat Foster Maad.

Mengulas potensi pasaran global, Adzliana berkata unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut mencecah AS$327 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028, sekali gus membuka peluang luas kepada jenama tempatan Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Amiri menyifatkan Istanbul sebagai pintu masuk strategik bagi usahawan Malaysia meneroka peluang perniagaan, khususnya dalam sektor fesyen, hospitaliti dan penyediaan makanan Malaysia.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik inisiatif USANITA meneroka pasaran Türkiye dan yakin usaha tersebut mampu direalisasikan berikutan hubungan erat antara kepimpinan kedua-dua negara serta persepsi positif rakyat Türkiye terhadap Malaysia.

Pada 2024, Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion). Negara itu juga muncul sebagai destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat.

Amiri turut memaklumkan bahawa Türkiye mempunyai potensi besar kepada usahawan Malaysia, khususnya selepas Perdana Menteri menyatakan keyakinan sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia–Türkiye sebanyak AS$10 bilion mampu dicapai dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Türkiye turut memudahkan proses pelaburan serta akses pasaran bagi syarikat Malaysia.

Mengulas strategi pemasaran HMF, Adzliana berkata jenama fesyen di bawah USANITA, Amber, akan bekerjasama dengan rakan strategik di beberapa negara Islam termasuk Indonesia dan Türkiye menerusi program “Bridge to Brilliance” (BtB) yang diperkenalkan syarikat itu.

Menurutnya, platform BtB berfungsi sebagai rangkaian strategik berperingkat yang merangkumi Malaysia melalui BtB 1.0, Indonesia (BtB 2.0), United Kingdom (BtB 3.0), New Zealand dan Australasia (BtB 4.0), serta Türkiye (BtB 5.0).

Beliau berkata, selain fesyen, USANITA turut membantu rakan niaga di Malaysia dan negara terlibat meneroka kerjasama dalam industri makanan serta produk halal, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Dalam masa sama, Adzliana berkata platform BtB 5.0 turut dimanfaatkan bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui pelbagai aktiviti penggambaran dan fesyen yang kini dijalankan di Istanbul, melibatkan lebih 40 artis serta pasukan sokongan dari Malaysia.

Menurut beliau, program BtB 5.0 bukan sekadar lawatan perniagaan, sebaliknya merupakan inisiatif strategik yang menggabungkan diplomasi ekonomi, penjenamaan negara dan industri kreatif bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal serta pusat pembangunan jenama Islamik global.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur