USANITA RAPATKAN HUBUNGAN DENGAN KUSKOP
March 9th, 2023 / Kementerian
DALAM kepadatan jadual mengatur program-program latihan untuk memperkasakan golongan usahawan, Usanita Sdn Bhd tidak pernah ketinggalan menyelitkan ruang untuk membuat kunjung hormat di beberapa kementerian berkaitan.
Selaku badan pemudahcara, Usanita akui pihak pemerintah negara sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap idea dan pelaksanaan acara yang dilakukan.
Awal Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan bersama pasukan Usanita Sdn Bhd mendapat lampu hijau daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato Sri Suriani Dato Ahmad untuk mengadakan kunjungan hormat ke Putrajaya.
Menurut Datin Seri Adzliana, aktiviti kunjung hormat ini antara langkah Usanita untuk memperkenal dan merapatkan hubungan dengan pihak kerajaan.
“Aktiviti ini antara yang menjadi keutamaan Usanita bagi menjalinkan hubungan baik, sekaligus memperkenalkan peranan dan tanggungjawab Usanita kepada mana-mana kementerian yang baru pertama kali kami adakan kunjungan.
“Biarpun nama Usanita semakin dikenali namun sebagai perantara bangsa usahawan B40, adalah lebih baik juga untuk saya dan Usanita bertemu mata depan-depan,” katanya.
Sepanjang dua jam pertemuan, kedua-dua pihak berkongsi cerita tentang peranan yang mungkin boleh berkolaborasi dalam membantu golongan usahawan terutama yang bernaung di bawah agensi-agensi kementerian terbabit.
Datin Seri Adzliana bersyukur kerana Dato Sri Suriani menyambut baik usaha Usanita bagi memperkasakan usahawan-usahawan B40, lebih-lebih lagi yang melibatkan kaum wanita dan surirumah.
“Usanita sedang merangka sebuah program yang akan melibatkan kerjasama dan selari dengan visi dan misi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Semuanya demi bangsa usahawan kita,” katanya.