USANITA TERUSKAN TRADISI SUMBANGAN SEMPENA RAMADAN DAN SYAWAL
April 11th, 2023 / Artikel
DALAM memfokuskan kepada keusahawanan yang misi dan visi utama syarikat, Usanita Sdn Bhd tidak pernah meminggirkan mereka yang memerlukan bantuan seperti yang dilakukan saban tahun terutama ketika Ramadan dan Syawal.
Ramadan lalu, tepatnya pada 11 April 2023, sekali lagi Usanita yang dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan turun padang mendekati golongan kurang bernasib baik untuk menyambut lebaran baru-baru ini.
Lebih 1,200 sumbangan berbentuk barangan makanan dan juadah berbuka disumbangkan kepada golongan miskin bandar dan penduduk sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur di dalam program Ramadan Madani Usanita Titipan Kasih.
“Fokus bantuan Ramadan dan Syawal itu lebih kepada penduduk miskin bandar yang menetap di Kampung Baru dan sekitarnya. Kami menyerahkan 1000 pek mee goreng untuk berbuka dan lebih 1,200 bakul makanan.
“Bakul makanan ini mengandungi keperluan asas termasuk beras, gandum, bihun, susu, garam, gula dan minyak bagi mereka menyambut Aidilfitri, tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban mereka,” kata Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.
Barangan makanan itu disumbangkan oleh Buletin FM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd dan Parlimen Titiwangsa yang diagihkan di Masjid Jamek Kampung Baru.
“Kam memilih Kampung Baru kerana fokus kami adalah membantu golongan miskin bandar dan asnaf sebagai sebahagian program sumbangan sempena Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.
“Semoga projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung golongan yang memerlukan, dengan hasrat kami untuk membantu dan berkongsi rezeki,” katanya.
Tambah meriah, majlis tersebut turut dihadiri, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program sumbangan yang bermula selepas selesai solat Asar itu turut menyaksikan kehadiran pengacara terkenal, Awal Ashaari dan selebriti, Zoey Rahman, selain penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan yang bersama-sama mengagihkan bakul makanan dan pek iftar.