USANITA, UKM TANDATANGANI MOU

March 7th, 2024 /

TANGGAL 7 Mac lalu, satu lagi catatan sejarah dilakarkan oleh USANITA Sdn Bhd apabila mendapat kepercayaan oleh ahli akademik untuk menjalinkan usaha sama dalam memperkasakan industri keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti. 

Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan mengadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama USANITA Sdn Bhd yang dilakukan di kampus universiti berkenaan di Bangi, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Dato Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, menerusi majlis ini membuktikan USANITA mendapat mandat serta kepercayaan ahli akademik terutama pensyarah universiti untuk membantu melaksanakan program mereka.

“Terima kasih UKM khasnya pihak Fakulti Ekonomi dan Pengurusan yang mempercayai USANITA untuk menjalin kerjasama serta melaksanakan program-program bagi memantapkan lagi ilmu-ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti. 

“Menerusi MoU ini, USANITA akan menyediakan beberapa program dan khidmat nasihat berkaitan keusahawanan dan dunia perniagaan. Dan itu bukan menjadi masalah besar kerana USANITA sudah melalui banyak pengalaman untuk dikongsikan dengan pelajar-pelajar UKM. 

“Saya percaya, kerjasama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang kepada pelajar khasnya, buat universiti amnya,” kata Dato Adzliana.

MoU itu menyaksikan ikatan persefahaman di antara kedua-dua pihak akan berlangsung selama tiga tahun. Selama tempoh itu, USANITA akan memperkenalkan modul-modul bisnes baharu dari semasa ke semasa untuk para pelajar ikuti dan dalami. 

Dato Adzliana berkata, USANITA sedang merancang untuk mengadakan karnival keusahawanan di dalam kampus UKM pada penghujung tahun ini. 

“Kami ingin memberi pendedahan kepada seluruh penghuni kampus termasuk pelajar dan tenaga pengajar tentang keusahawanan sebenar. Insya-Allah kami rancang untuk mengadakannya di DECTAR (Dewan Canselor Tun Abdul Razak),” katanya. 

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country