UTV Lancar Akses Android TV, Tingkatkan Pengalaman Tontonan Pengguna
April 6th, 2026 / Artikel
KUALA LUMPUR – Platform penstriman tempatan, UTV, terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap hiburan digital dengan pelancaran akses baharu menerusi Android TV, sekali gus membolehkan pengguna menikmati kandungan di skrin besar dengan lebih selesa.
Inisiatif ini menandakan satu lonjakan penting dalam strategi pengembangan UTV, meletakkannya setanding dengan platform antarabangsa dari segi kebolehcapaian serta pengalaman pengguna. Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan, pada Majlis Seri Syawal Usanita 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur, susulan sambutan memberangsangkan terhadap aplikasi itu di peranti mudah alih dan desktop.
Melalui integrasi Android TV, UTV kini menawarkan pengalaman tontonan yang lebih imersif, seakan-akan pawagam peribadi di rumah. Platform ini kekal dengan identiti ‘feel good’ yang menampilkan kandungan ringan dan menghiburkan, khususnya dalam genre romantik komedi, sesuai untuk penonton yang mencari hiburan santai selepas rutin harian.
Setakat ini, UTV menyediakan hampir 30 telefilem termasuk siri UTV Nusantara yang menggabungkan bakat dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus menghasilkan naratif lebih segar serta dekat dengan cita rasa penonton serantau.
Pencapaian platform ini turut disokong oleh jumlah tontonan yang mencecah lebih 30 juta secara keseluruhan, dengan telefilem Poskad Cinta Dari Auckland muncul sebagai antara kandungan paling popular. Dengan model “pay-per-content” yang fleksibel tanpa komitmen langganan bulanan, UTV dilihat lebih mesra pengguna dalam mengurus perbelanjaan hiburan digital.
Dalam masa sama, UTV turut merancang untuk menembusi industri perfileman menjelang 2027 dengan penglibatan pelakon ternama, sekali gus memperkukuh aspirasinya untuk muncul sebagai peneraju kandungan hiburan serantau.